Yahudisasi di al-Aqsa: Konsep dan Ideologi

by admin
3018 views

Oleh: Dr. Sharif Abu Shammalah
CEO of al-Quds Foundation Malaysia

“Yahudisasi” merupakan istilah yang merujuk kepada pelaksanaan dan polisi-polisi yang dikenakan ke atas kota al-Aqsa oleh rejim Zionis bersama dengan persatuan “Ma’bad”. Dasar ini bertujuan untuk menghapuskan identiti agama Islam, ketamadunan, demografi penduduk Muslim dan Arab serta Masjid al-Aqsa. Matlamat akhirnya ialah mereka ingin mengubah identiti kota al-Aqsa ini menjadi hak milik Yahudi sepenuhnya. Justeru, bagi merealisasikan dasar ini, mereka telah memfokuskannya kepada tiga perkara, iaitu:

Pertama: manusia; iaitu pengusiran penduduk melalui penderaan fizikal dan mental, serta dari tempat-tempat umum dan signifikan di al-Aqsa.

Kedua: tanah; iaitu segala yang ada di dalam kawasan dengan cara memusnahkan kawasan kediaman atau menguasainya lalu melarang daripada proses membaikpulihnya. Malahan, mereka juga sanggup menawan semua tanah dan perkuburan, menukar nama-nama jalan dan mercu tanda, menghancurkan al-Aqsa dan kawasan sekitarnya dengan membina  terowong bawah tanah serta lain-lain lagi.

Ketiga: tempat-tempat suci; iaitu Masjid al-Aqsa yang merupakan fokus utama dalam gerakan yahudisasi.

Yahudisasi di al-Quds dan Masjid al-Aqsa sudah dirancang lama oleh gerakan Zionis. Ini boleh dirujuk melalui ucapan Theodor Herzl (Presiden Pertubuhan Zionis Sedunia); “Sekiranya kita berjaya menakluk al-Quds pada satu hari nanti, dan ketika itu aku masih hidup dan berupaya untuk melakukan apa-apa sahaja, aku akan hapuskan segala benda suci yang tidak berkaitan dengan yahudi dan akan membakar segala peninggalan lama yang telah berabad lalu.”

Bagi menyoroti gerakan yahudisasi di Masjid al-Aqsa al-Mubarak, ia boleh diperhatikan secara meluas melalui tindakan dan polisi yang dikenakan oleh penjajah. Perlu diingat bahawa matlamat terakhir mereka adalah untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa lalu digantikan dengan binaan kuil yahudi(haikal). Walaupun pelaksanaan yahudisasi ini boleh dilihat secara jelas semasa penjajahan di al-Quds pada tahun 1967 M, akan tetapi banyak percubaan yang telah dilakukan pada tahun sebelumnya, terutamanya sewaktu mereka memulakan projek Zionis di tanah Palestin di bawah naungan jajahan Inggeris.

Antara contoh pelaksanaan yahudisasi ialah:

  1. Penguasaan ke atas sebahagian Masjid al-Aqsa

Zionis telah melakukan percubaan untuk menguasai tembok Buraq (tembok barat Masjid al-Aqsa al-Mubarak) pada tahun 1929 M. Rentetan itu, berlakunya revolusi Buraq bagi menghalang percubaan tersebut. Namun begitu, Zionis telah berjaya menguasainya pada tahun 1967 M selepas memusnahkan kejiranan al-Magharibah yang terletak bersebelahan dengan tembok tersebut, (maklumat tambahan pada bab tembok Buraq dan yahudisasinya).

Sejak penjajahan ke atas bandar al-Quds, rejim Israel telah menguasai sebahagian daripada masjid dengan merampas kunci-kunci bab al-Magharibah (yang terletak di tembok barat Masjid al-Aqsa) dan menggunakannya untuk membenarkan golongan pelampau dan polis Israel memasuki masjid untuk memusnahkannya.

Selain itu, antara kawasan penting yang dikuasai oleh penjajah adalah “khalwah Junbulathiyah” yang terletak di dataran kubah as-Sakhrah. Mereka telah menjadikannya sebagai balai polis di dalam Masjid al-Aqsa. Oleh sebab itu, terjadinya banyak penentangan daripada para murabithun di dataran al-Aqsa bagi melindunginya.

Para penjajah juga telah menawan kesemua pintu-pintu Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Mereka telah mengawal laluan masuk dengan melarang para pemuda dan pemudi Palestin serta murabithun dari memasukinya. Pada tahun 2017 M, rejim Israel telah melakukan  cubaan untuk memasang pintu elektronik di pintu-pintu masuk al-Aqsa. Namun, rakyat Palestin telah membantahnya secara keras sehingga mereka dihalau selepas dua minggu melakukan tunjuk perasaan yang dikenali sebagai “Hibbah Bab al-Asbat”.

Kini, penjajah sedang berusaha untuk merampas bab ar-Rahmah dan seluruh bahagian timur Masjid al-Aqsa yang akan membentuk lima buah ruang. Mereka juga sedang merancang untuk membina gereja yahudi di al-Aqsa. (untuk maklumat lanjut, boleh rujuk pada tajuk:

  1. Rancangan pembahagian masa dan tempat (2013 M) (Baca Lagi).
  2. Pertempuran untuk melindungi al-Aqsa daripada pembahagian masa dan tempat (Baca Lagi).
  1. Terowong dan penggalian

Sejak tahun 1967 M, rejim Israel telah melaksanakan pelbagai aktiviti penggalian dan terowong di sekitar Masjid al-Aqsa dan di kawasan bawahnya. Menurut statistik terkini, terdapat lebih 64 kerja-kerja penggalian yang telah dijalankan.

Zionis mendakwa bahawa penggalian tersebut adalah untuk mencari kuil yang pernah dikatakan (kuil Sulaiman). Kesan daripada tindakan tersebut, ia telah menjejaskan asas binaan Masjid al-Aqsa dan menyebabkan keretakan pada dindingnya serta meruntuhkan rumah-rumah dan kemudahan-kemudahan awam yang lain. Selain itu, aktiviti tersebut juga telah mengakibatkan kerosakan pada seni bina Islam yang menjadi bukti kepada sejarah Masjid al-Aqsa sebagai kota Islam.

Lebih membahayakan lagi, bilamana aktiviti tersebut dilakukan mengikut kaedah mereka tanpa mempedulikan kaedah saintifik. Hal ini kerana, mereka ingin membuktikan bahawa kuil yahudi itu wujud di kawasan Masjid al-Aqsa. Pakar arkaelogi Yahudi yang menghormati kaedah saintifik mengatakan bahawa walaupun mereka sudah lama melakukan kerja penggalian, mereka tidak pernah sesekali menjumpai kesan tinggalan yahudi sama ada di al-Aqsa mahupun di kawasan bawah tanah. Apa yang mereka jumpai adalah kesan-kesan peninggalan Islam sejak pemerintahan Islam yang pertama atau peninggalan Byzantine yang tiada kaitan langsung dengan Yahudi.

  1. Pencerobohan

Tindakan menceroboh dan menyerang sentiasa dilakukan oleh puak penjajah, pelampau Yahudi serta pelancong asing yang datang ke Masjid al-Aqsa. Mereka ini mendapat perlindungan daripada tentera rejim Israel semasa melakukan pencerobohan. Golongan pelampau dengan senang hatinya melakukan upacara ibadah mereka di situ. Beberapa tahun kebelakangan ini, kegiatan ini semakin meningkat sama ada dari segi kuantiti mahupun kualiti bilamana wujudnya juga penglibatan daripada pemerintah dan ahli parlimen Zionis. Serangan ini bertujuan untuk mengekalkan kewujudan orang Yahudi di Masjid al-Aqsa yang mereka telah anggap sebagai Jabal Ma’bad. (Maklumat lengkap mengenai pencerobohan)

  1. Memerangi kewujudan umat Islam di al-Aqsa

Rejim Israel berterusan menyerang umat Islam dengan mengenakan sekatan mengikut umur yang dibenarkan masuk ke dalam Masjid al-Aqsa dan menunaikan solat di dalamnya. Kebiasaannya, mereka telah mengharamkan kaum lelaki yang berumur bawah dari 50 tahun dari memasuki ke dalam Masjid al-Aqsa. Oleh yang demikian, ribuan daripada penduduk terpaksa menunaikan solat di atas jalan bertar berikutan sekatan daripada penjajah Israel.

Bukan itu sahaja, bahkan sekatan tersebut turut meliputi ke atas semua penduduk Palestin sama ada yang tinggal di Semenanjung Gaza, Tebing Barat atau mereka yang diaspora dan pengecualian yang sedikit terhadap warga emas.

Di samping itu, penjajah Israel juga turut memerangi kegiatan halaqah ilmu, ribath dan syaddurihal(bersusah payah dalam perjalanan), sebagaimana Menteri Pertahanan Israel mengeluarkan kenyataan bahawa para murabithun dan murabithat di Masjid al-Aqsa terdiri daripada organisasi pengganas. Bahkan, “Israel” juga melancarkan perang secara teratur ke atas bas-bas yang membawa para jemaah dari dalam Palestin ke al-Aqsa (syaddurrihal) dengan menghentikannya dan melarangnya dari sampai ke dalam Masjid al-Aqsa.

Antara projek berbahaya lain yang dilaksanakan oleh penjajah Israel adalah pembahagian masa dan tempat di dalam Masjid al-Aqsa. Mereka ingin memastikan orang Yahudi mempunyai tempat dan waktu untuk melakukan upacara ibadah mereka tanpa ada gangguan daripada umat Islam.

  1. Penukaran nama al-Aqsa dan mercu tandanya

Sekitar 7000 buah nama telah ditukar di bandar al-Quds. Salah satunya adalah Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Penjajah Israel berkeras untuk menggunakan nama-nama yang ada di dalam kitab mereka. Hal ini kerana, mereka ingin mewujudkan hubungan antara mereka dan al-Aqsa. Lebih berbahaya lagi adalah apabila mereka menamakan Masjid al-Aqsa dengan nama Temple Mount (Jabal Ma’bad) serta menamakan pintu-pintu masjid mengikut nama di dalam kitab mereka seperti bab Thulasi ditukar dengan nama bab Khaldeh. Bagi mengiktiraf nama-nama tersebut, mereka telah menggunakan pemandu pelancong, mengumumkan keputusan rasmi serta meletakkannya di dalam peta dan papan tanda di pintu masjid.

  1. Cubaan untuk membakar dan meletupkan Masjid al-Aqsa

Pada tahun 1969 M, salah seorang puak pelampau telah menyalakan api di atas mimbar Salahuddin, dinding serta perabot masjid. Namun begitu, kes ini telah dihalang prosesnya oleh pihak berkuasa Israel. Anehnya, mereka kemudiannya membebaskan penjenayah tersebut dengan alasan bahawa dia “gila” dan dia tidak bertanggungjawab ke atas jenayah tersebut. Jenayah cubaan meletupkan masjid ini turut berulang pada tahun-tahun berikutnya seperti pada tahun 2015 M, di mana seorang yahudi Amerika telah diarahkan oleh organisasi pelampau Zionis untuk membakar masjid. Namun begitu, operasi tersebut gagal apabila ia sempat dikesan sebelum dimulakan operasinya. (Untuk maklumat selanjutnya, boleh tekan di sini ).

  1. Melarang kerja-kerja pembaikpulihan di dalam Masjid al-Aqsa

Apabila penjajah menghalang daripada kerja-kerja pembaikpulihan, maka Masjid al-Aqsa tidak dapat dipelihara, diselenggara dan dimanfaatkan kemudahannya. Para petugas di masjid hanya dapat melakukan penyelenggaran yang ringan sahaja dan itupun tetap tidak terlepas daripada penangkapan dan serangan. Mereka menyatakan bahawa terdapat 42 buah projek penyelenggaraan al-Aqsa yang tergendala disebabkan larangan dan sekatan daripada penjajah.

  1. Pengepungan Masjid al-Aqsa

Penjajah Israel telah membina beberapa buah gereja di sekitar tembok al-Aqsa. Antaranya, gereja yang dibina di sekolah at-Tankaziyah (bercantum dengan tembok al-Aqsa) dan di bahagian bawahnya iaitu gereja “Wilson Bridge”. Persatuan-persatuan Yahudi sangat aktif mengajak orang-orang Yahudi dari serata dunia untuk datang melawat gereja ini dan mewujudkan hubungan dengan tempat-tempat suci. Selain itu, kerajaan Israel juga telah membinanya dengan menamakan “taman alkitabiah” (al-hadaiq at-tauratiyah) yang terletak di atas monumen-monumen peninggalan Islam di sekitar al-Aqsa.

Bilangan gereja yang mengelilingi Masjid al-Aqsa dan di dalam kota lama (keluasaannya kurang dan 1 kilometer persegi) adalah sebanyak 102 buah gereja. Persatuan-persatuan yahudi dan kerajaan Zionis berlumba-lumba merancang untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa sebagai persiapan untuk membina rumah ibadah mereka. Banyak patung-patung yang telah dibina untuk rumah ibadah yahudi di kawasan Masjid al-Aqsa.

Dasar-dasar yahudisasi yang diterangkan di atas hanyalah sebahagian contoh yang ringkas dan jelas daripada beberapa masalah lain lagi yang berlaku di Masjid al-Aqsa. Realitinya amat sukar dan perit serta pelaksanaan yahudisasi adalah jauh lebih berbahaya serta dipenuhi dengan perincian yang menyakitkan dan berbahaya.

Related Articles