Pengenalan Al-Aqsa

by admin
4602 views

Oleh: Dr. Sharif Abu Shammalah
CEO of al-Quds Foundation Malaysia

Masjid al-Aqsa al-Mubarak terletak di bahagian tenggara bandar al-Quds (yang dinamakan pada hari ini sebagai Kota Lama). Al-Aqsa merupakan nama bagi seluruh kawasan yang dikelilingi oleh tembok Masjid al-Aqsa, termasuklah semua ruang solat yang terdapat di dalamnya seperti Masjid al-Qibli (yang terletak di bahagian selatan) dan Kubah as-Sakhrah (yang terletak di pusat masjid), ditambah dengan 200 mercu tanda dan bangunan lain seperti masjid-masjid, ruang-ruang solat, kubah-kubah, pintu-pintu gerbang, menara-menara azan, khulwat (bilik yang digunakan para sufi untuk beruzlah), ruwaq (lorong), sekolah-sekolah, sabil (tempat wuduk dan air bersih), masthabah, mihrab-mihrab, mimbar-mimbar, telaga-telaga dan perpustakaan.

Masjid ini didirikan di atas sebuah dataran yang tinggi yang dinamakan Bukit al-Aqsa. Menurut sumber rujukan Barat, dinamakannya juga sebagai Moriah Mount (Bukit Moriah). Bukit ini telah berkongsi sempadan timur dan  selatannya dengan sempadan timur dan selatan Kota Lama al-Quds.

Keluasannya adalah sekitar 144 ribu meter persegi iaitu sekitar 1/6 daripada keluasan Kota Lama al-Quds. Sebagaimana yang sedia maklum, sempadan dan kawasannya masih tidak berubah meskipun masa terus berlalu sehingga terbentuknya tembok Masjid Al-Aqsa. Ia seperti sebuah segi empat tepat yang tidak tersusun ukuran  sisinya:

Bahagian Selatan: 281m

Bahagian Utara: 310m

Bahagian Timur: 462m

Bahagian Barat: 491m

 Kesimpulan daripada nama al-Aqsa:

  1. Masjid al-Aqsa telah disebut sebagai Baitul Maqdis dalam beberapa teks tradisional dan hadis, seperti di dalam hadis Nabi SAW apabila Baginda SAW bersabda: “Ketika kaum Quraisy mendustakan aku, aku berdiri di Hijr (Hijr Ismail) kemudian Allah SWT memperjalankan aku ke Baitul Maqdis dan aku mula menceritakan kepada mereka akan tanda-tandanya…”. (Muttafaqun ‘alaih). Nama Baitul Maqdis ini kemudiannya merujuk terus kepada Kota al-Quds itu sendiri, iaitu tempat terletaknya Masjid Al-Aqsa, khususnya semasa zaman kerajaan Islam.
  2. Beberapa buah buku menyatakan nama al-Haram al-Qudsi atau al-Haram al-Sharif (tanah suci yang mulia) merupakan nama bagi Masjid al-Aqsa. Walau bagaimanapun, ulama’ berpandangan bahawa nama ini adalah salah  kerana ianya bukanlah tanah haram mengikut konsep syara’, memandangkan hukum berburu dan menebang pokok di dalamnya adalah harus. Begitu juga barang-barang yang dijumpai adalah tidak haram untuk dikutip dan tidak ada istilah haram melainkan bagi Masjid al-Haram (Masjid Makkah) dan Masjid an-Nabawi (Masjid Madinah).
  3. Terdapat sebahagian golongan lain yang memberikan nama Masjid al-Aqsa dengan nama Masjid al-Qibli yang terletak di bahagian selatan. Ini sama sekali salah kerana Masjid al-Qibli merupakan sebahagian daripada Masjid al-Aqsa dan bukanlah merujuk kepada Masjid al-Aqsa itu sendiri.  Masjid al-Qibli adalah ruang solat berbumbung yang utama. Walau bagaimanapun, salah faham ini telah digunakan bagi tujuan propaganda tentera penjajah Zionis untuk memperdayakan seluruh dunia bahawa pencabulan dan pencerobohan yang dilakukan di perkarangan Masjid al-Aqsa hanyalah berlaku di kawasan kejiranan masjid bukannya di Masjid al-Aqsa (Masjid al-Qibli mengikut pemahaman mereka). Maka, mudahlah bagi Zionis untuk mengambil alih sebahagian Masjid al-Aqsa. Oleh sebab itu, Majlis Perbandaran Tentera Penjajah telah mengeluarkan notis yang menyatakan bahawa  perkarangan Masjid al-Aqsa adalah sebagai tempat “dataran awam”, yang membenarkan tentera penjajah Zionis meluaskan penguasaan di kawasan tersebut seperti kemudahan-kemudahan awam yang berada di kawasan perbandaran.
  4. Zionis Israel sentiasa berusaha dengan segala kekuatan yang mereka ada untuk menghapuskan nama Masjid al-Aqsa dan menukarkannya kepada nama Jabal Ma’bad (Temple Mount) sama ada melalui penulisan di dalam jurnal, bahan-bahan cetakan yang diterbitkan atau melalui medium elektronik. Malah sehingga setakat ini (25/3/2018 ) Google Map dalam versi bahasa Inggeris juga memaparkan nama Temple Mount bagi kawasan Masjid al-Aqsa dan kenyataan ini sangatlah bertentangan dengan kenyataan yang sebenar, dengan dakwaan bahawa kesilapan ini mempunyai agendanya yang tersendiri.

Related Articles