Pintu-pintu gerbang Al-Aqsa

by admin
5470 views

Masjid al-Aqsa memiliki 15 buah pintu gerbang bagi memenuhi keperluan para penduduk dan pelawat yang datang dari pelbagai pelusuk tempat. Kini, pintu-pintu gerbang ini telah dibahagikan kepada dua kategori:

1) Pintu gerbang yang masih dibuka: 10 buah pintu gerbang.

2) Pintu gerbang yang ditutup: 5 buah pintu gerbang.

Pintu-pintu gerbang ini boleh dijumpai di sekeliling tembok Masjid al-Aqsa iaitu:

– Sebelah Timur: 2 buah pintu gerbang

– Sebelah Utara: 3 buah pintu gerbang

– Sebelah Barat: 7 buah pintu gerbang

– Sebelah Selatan: 3 buah pintu gerbang

Kebanyakan pintu-pintu gerbang yang terletak di bahagian timur dan selatan masih ditutup atas sebab-sebab yang akan dijelaskan dalam penerangan seterusnya. Manakala, pintu gerbang di bahagian barat (7 buah pintu gerbang) masih dibuka. Malangnya, tentera penjajah Zionis telah mendirikan pondok pemeriksaan di hadapan pintu-pintu gerbang ini yang bertujuan untuk mengawal kemasukan para jemaah yang ingin bersolat di Masjid al-Aqsa. Pengawasan yang lebih ketat telah dilakukan di bahagian pintu gerbang al-Magharibah di mana kawasan ini telah digunakan oleh golongan penceroboh dan pelampau Zionis untuk menceroboh Masjid al-Aqsa.

Pertama: Pintu-pintu gerbang yang masih dibuka:

Bab al-Asbat (Pintu Gerbang Asbat / The Tribes Gate)

Pintu gerbang ini terletak di bahagian timur laut Masjid al-Aqsa. Perkataan al-Asbat adalah gelaran bagi anak-anak Nabi Yaaqub A.S. Pintunya berbentuk melengkung dengan ukuran ketinggian 4 m. Ia pernah diubahsuai semasa pemerintahan al-Ayyubi pada tahun 610 H bersamaan 1213 M dan juga pada akhir zaman pemerintahan Kerajaan Mamluk. Selain itu, dikenali juga sebagai Pintu Gerbang Sitna Maryam (Maryam Gate) yang berdekatan dengan Gereja St. Anne yang mana dipercayai oleh orang Kristian bahawa gereja ini merupakan tempat kelahiran Maryam. Pintu gerbang ini juga merupakan satu-satunya laluan masuk bagi ambulan ke dalam Masjid al-Aqsa al-Mubarak semasa waktu kecemasan. Hal ini kerana, pintu ini adalah pintu yang paling luas dan kedudukannya berada di tanah rata. Selain itu, tempat ini juga telah menyaksikan ramai orang yang telah meninggal dunia sama ada dalam keadaan cedera mahupun mati syahid. Terutamanya sewaktu peristiwa pembunuhan beramai-ramai penduduk Masjid al-Aqsa sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 1990 M, 1996 M dan 2000 M. Pada bulan Julai 2017 M, terjadinya peristiwa kebangkitan ribuan penduduk Palestin di ambang pintu masuk ini yang dinamakan sebagai ‘Kebangkitan Asbat’. Peristiwa ini berlaku apabila tentera penjajah Zionis memaksa mereka untuk melalui pintu elektronik sebelum memasuki ke dalam Masjid al-Aqsa. Namun begitu, ianya gagal selepas dua minggu rakyat Palestin melakukan mogok lalu pihak penjajah terpaksa mengalihkan pintu elektronik tersebut.

Bab Hittah

(Pintu Gerbang Hittah / The Gate of Remission) 

Pintu gerbang  ini terletak di ruwaq (lorong) utara Masjid al-Aqsa di antara Pintu Gerbang Asbat dan Pintu Gerbang Faisal. Ia merupakan salah satu pintu gerbang yang tertua di Masjid al-Aqsa. Tempat laluan masuknya berbentuk segi empat tepat dan pernah diperbaharui semasa pemerintahan al-Ayyubi pada tahun 617 H bersamaan tahun 1220 M. Selain itu, seni binanya juga ringkas dan di bahagian bumbungnya terdapat tempat untuk menggantung pelita pada suatu ketika dahulu. Ia juga merupakan laluan ke penempatan bandar lama (Old City) al-Quds iaitu Penempatan as-Saa’diyaa. Akhir sekali, ia merupakan salah satu daripada tiga buah pintu gerbang yang dibenarkan untuk dibuka oleh tentera  Zionis pada tiga waktu solat iaitu Subuh, Maghrib dan Isya’.

  Bab al-‘Atam

(Pintu Gerbang ‘Atam / The Gate of Darkness) 

Pintu gerbang ini dikenali juga dengan nama Pintu Gerbang Raja Faisal, Pintu Gerbang Duwidariyah dan Pintu Gerbang Kemuliaan Para Nabi (Syaraf al-Anbiya’). Berbentuk segi empat tepat dengan ketinggian 4 m serta pernah diubahsuai pada zaman pemerintahan al-Ayyubi pada tahun 610 H bersamaan 1214 M. Pintu ini terletak di tengah-tengah utara Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Dinamakan Pintu Gerbang Raja Faisal adalah kerana merujuk kepada kunjungan Raja Faisal bin Husain yang telah menziarahi Masjid al-Aqsa pada tahun 1348 H bersamaan tahun 1930 M. Manakala dinamakan pula dengan Pintu Gerbang Kemuliaan Para Nabi (Syaraf al-Anbiya’) adalah kerana dikaitkan dengan penempatan Syaraf al-Anbiya’ yang terletak di kota lama al-Quds dan dinamakan dengan Pintu Gerbang Duwidariyah kerana ianya bersambung dengan sekolah Duwidariyah.

 Bab al-Ghawanimah

(Pintu Gerbang al-Ghawanimah / The Gate of Bani Ghanim)

Pintu gerbang ini terletak di bahagian barat laut Masjid al-Aqsa. Ia merupakan sebuah pintu kecil dan tempat masuknya berbentuk segi empat tepat. Dibina pada zaman pemerintahan Umaiyyah dan dikenali sebagai pintu gerbang al-Walid bin Abdul Malik. Nama lain bagi pintu gerbang ini adalah Pintu Gerbang al-Khalil dan Pintu Gerbang al-Ghawarimah. Kerja-kerja pengubahsuaiannya telah dilakukan pada tahun 707 H bersamaan 1307 M. Pada bulan Jun 1988 M, pintu gerbang ini telah dibakar oleh penduduk Yahudi dan berikutan itu, kerja pembaikpulihan telah dijalankan.

   Bab an-Nazhir

(Pintu Gerbang an-Nazhir / The Inspector Gate)

Pintu gerbang ini terletak di ruwaq (lorong) barat  Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan di bahagian selatan pintu gerbang al-Ghawanimah. Dikenali juga dengan nama Pintu Gerbang al-Habs (penjara), Pintu Gerbang  al-Majlis, Pintu Gerbang Mikail, Pintu Gerbang Alauddin al-Bashiri dan Pintu Gerbang Ribath al-Mansuri. Pintunya berbentuk segi empat tepat dengan ketinggian 4.5 m. Kerja-kerja pembaikpulihan telah dilakukan pada zaman pemerintahan al-Ayyubi iaitu sekitar tahun 600 H bersamaan tahun 1260 M.

   Bab al-Hadid

(Pintu Gerbang Besi / The Iron Gate)

Pintu gerbang ini terletak di ruwaq (lorong) barat Masjid al-Aqsa al-Mubarak iaitu di antara Pintu Gerbang  an-Nazhir dan Pintu Gerbang al-Qathanin. Dikenali juga di dalam bahasa Turki dengan nama Pintu Gerbang Argon yang membawa maksud al-Hadid (besi) dalam bahasa Arab. Nama ini diambil bersempena dengan nama orang yang telah mengubahsuainya iaitu Putera Argon al-Kamili yang telah meninggal dunia pada tahun 758 H bersamaan tahun 1356 M. Pintu masuknya bersaiz kecil dan berbentuk segi empat tepat.

Bab al-Qathanin

(Pintu Gerbang al-Qathanin / Cotton Merchants’s Gate)

Pintu gerbang ini terletak di ruwaq (lorong) barat Masjid al-Aqsa al-Mubarak iaitu di antara Pintu Gerbang al-Hadid dan Pintu Gerbang al-Mathharah. Ia merupakan antara pintu gerbang yang tercantik dan terbesar daripada pintu-pintu gerbang yang lain di Masjid al-Aqsa. Di bahagian atasnya, dihiasi dengan batu stalaktit dimana kelihatannya seperti bentuk sarang lebah. Pintu gerbang ini merupakan laluan ke arah pasar al-Qathanin (tempat berniaga kapas) dan disebabkan itu diberi nama dengan Pintu Gerbang al-Qathanin. Pintunya berbentuk segi empat tepat dengan ketinggian 4 m serta telah diubahsuai oleh Sultan Mamluk Muhammad bin Qalawun pada tahun 737 H bersamaan tahun 1336 M.

  Bab al-Mathharah

(Pintu Gerbang al-Mathharah / Ablution Gate)

Pintu gerbang ini terletak di ruwaq (lorong) barat Masjid al-Aqsa yang berdekatan dengan Pintu Gerbang al-Qathanin. Kedudukannya sangat strategik kerana terletak berhampiran dengan Kubah as-Sakhrah. Ia merupakan satu-satunya pintu gerbang yang bukan menjadi laluan kepada mana-mana penempatan kota lama al-Quds . Akan tetapi, merupakan laluan ke tempat wuduk. Oleh kerana itu, ia dinamakan dengan Pintu Gerbang al-Mathharah yang bermaksud pembersihan. Pengubahsuaiannya telah dilakukan pada zaman pemerintahan Putera Alauddin al-Bashiri al-Mamluki pada tahun 666 H bersamaan tahun 1266 M.

 

 Bab as-Silsilah

(Pintu Gerbang as-Silsilah / The Gate of Chain)

Merupakan antara pintu gerbang utama yang terletak di tembok barat Masjid al-Aqsa di bahagian selatan. Dinamakan dengan Pintu Gerbang as-Silsilah kerana diyakini dahulunya terdapat rantai yang tergantung di bahagian pintunya. Proses pembinaannya telah dilakukan pada zaman pemerintahan al-Ayyubi. Di bahagian atas pintunya, terdapat binaan batu bata yang saling bersilang antara satu sama lain dengan adanya bonjolan dan rongga di antaranya. Di samping itu, pintu kayunya terdiri daripada dua sisi (kiri dan kanan) yang dilengkapi dengan sebuah pintu kecil yang hanya muat dimasuki oleh seorang individu sahaja jika pintu besar ditutup. Selain itu, terdapat dua tempat laluan masuk. Pertama, dikenali sebagai, Pintu Gerbang as-Silsilah dan ianya sentiasa terbuka. Kedua, dinamakan Pintu Gerbang as-Sakinah dan ianya sentiasa ditutup kecuali jika ada keperluan. Kedua-dua buah pintu gerbang ini berbentuk segi empat tepat dengan ketinggian 4.5 m. Binaannya pernah diperbaharui pada zaman pemerintahan al-Ayyubi pada tahun 600 H bersamaan 1203 M.

     Bab al-Magharibah

(Pintu Gerbang al-Magharibah / The Moroccan Gate)

Pintu ini terletak di tembok barat Masjid al-Aqsa iaitu di tembok al-Buraq. Ia merupakan laluan ke penempatan  al-Magharibah  yang telah dimusnahkan oleh tentera rejim Zionis pada tahun 1967 M. Seusai itu, mereka telah mendirikannya sebagai Tembok Ratapan (Sahatul Mubki/Wailing Wall) dimana  berfungsi sebagai tempat ibadah orang Yahudi di hadapan tembok al-Buraq serta menyediakan kemudahan ketika menjalankan upacara keagamaan. Pihak tentera Zionis telah melarang umat Islam daripada menggunakan pintu ini atas alasan untuk melindungi orang Yahudi yang sedang menunaikan sembahyang. Pintu gerbang ini juga dikenali dengan nama Pintu Gerbang al-Buraq dan Pintu Gerbang an-Nabi. Hal ini kerana, diyakini bahawa Rasulullah SAW telah memasuki melaluinya untuk ke Masjid al-Aqsa pada malam Isra’ dan Mikraj. Laluan tempat masuknya berbentuk melengkung, dan telah dibina semula pada zaman pemerintahan Sultan Mamluk Muhammad bin Qalawun pada tahun 713 H bersamaan tahun 1313 M.

Sejak tahun 1967 M, pihak Zionis telah menguasai sepenuhnya pintu gerbang ini dan telah mengambil kuncinya. Mereka telah menghalang umat Islam dari memasuki Masjid al-Aqsa melalui pintu gerbang ini, akan tetapi membenarkan para pelancong asing, pelampau Zionis dan pasukan tentera Israel untuk menyerbu dan melakukan serangan ke atas masjid.  

Kedua: Pintu-pintu gerbang yang ditutup:

Bab ar-Rahmah

(Pintu Gerbang ar- Rahmah / The Golden Gate) 

Pintu gerbang ini terletak di tembok timur Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan berada dalam sebuah bangunan yang besar dan tinggi. Selain itu, ia juga merupakan pintu gerbang yang lama dan besar yang terdiri daripada dua buah pintu yang saling bersebelahan, iaitu Pintu Gerbang ar-Rahmah di bahagian selatan dan Pintu Gerbang at-Taubah di sebelah utara. Ketinggiannya mencapai 11.5 m. Nama pintu gerbang ini diambil daripada perkuburan ar-Rahmah yang terletak berhampiran dengannya. Di situ, terdapat kubur para sahabat seperti Syaddad bin Aus R.A dan Ubadah bin Somit R.A. Orang Barat telah menamakannya sebagai Pintu Gerbang Emas  (Golden Gate) disebabkan kecantikannya yang luar biasa. Ahli arkeologi menyatakan bahawa pembinaannya telah dilakukan pada zaman Umaiyah. Di samping itu, ada juga yang mengatakan bahawa Imam al-Ghazali pernah beriktikaf di satu sudut sebelah atas Pintu Gerbang ar-Rahmah ketika dia menetap di Baitul Maqdis. Beliau juga pernah belajar di Masjid al-Aqsa ketika sedang menyiapkan penulisan bukunya yang sangat berharga iaitu kitab Ihya’ Ulumuddin. Pintu gerbang ini telah ditutup oleh Salahuddin al-Ayyubi semasa pembukaan Kota al-Quds demi untuk menjaga dan memelihara Masjid al-Aqsa daripada sebarang serangan pada masa akan datang. 

    Bab al-Janaiz

(Pintu Gerbang al-Janaiz / The Funerals Gate)

Terletak di bahagian tembok timur Masjid al-Aqsa dan merupakan salah satu pintu gerbang yang ditutup. Dinamakan dengan al-Janaiz kerana ia merupakan laluan untuk membawa jenazah dari masjid ke perkuburan ar-Rahmah.

    Bab as-Tsulasi

(Pintu Gerbang as-Tsulasi / The Triple Gate @ Huldah Gate)

Terletak di selatan Masjid al-Aqsa dan menghala ke arah Darul Ammarah dan Istana Umaiyah. Ianya terdiri daripada tiga buah gerbang terbuka yang saling bersebelahan. Pintu gerbang ini adalah tempat laluan masuk ke kawasan tenggara (sekarang dipanggil dengan Ruang Solat al-Marwani). Namun ditutup atas arahan Sultan Salahuddin bagi menjaga kota dan masjid daripada diserang musuh.

Sekitar tahun 90-an yang lalu, rejim penjajah telah membina sebuah tangga bagi menghubungkan ke pintu ini untuk mengambil alih ruang solat al-Marwani. Akan tetapi, Yayasan al-Aqsa untuk Pembangunan Kota Suci telah mengambil tindakan segera  mengubah suai Ruang Solat al-Marwani dengan membuka kembali pintu-pintunya dan menjadikannya sebagai tempat solat. Oleh yang demikian, perancangan yang hendak dilakukan oleh rejim penjajah telah gagal walaupun mereka cuba untuk menghalang projek tersebut.

 Bab al-Muzdawaj

(Pintu Gerbang al-Muzdawaj / The Double Gate) 

Al-Muzdawaj bermakna dua dan dinamakan sedemikian kerana pintu gerbang ini mempunyai dua buah pintu. Kedua-duanya menghadap ke arah selatan dan menghala ke arah Darul Khilafah dan Istana Umaiyah yang berada di sebelah selatan masjid. Dikatakan ia pernah menjadi laluan masuk bagi para pemimpin dan pembesar ke Masjid al-Qibli. Pintu ini telah ditutup atas arahan Sultan Salahudin al-Ayyubi bagi memelihara masjid dan kota daripada serangan tentera Salib di mana di dalamnya juga terdapat sekolah al-Khansaniyyah.

Bab al-Munfarid

(Pintu al-Munfarid / The Single Gate) 

Pintu gerbang ini merupakan salah satu pintu yang terdapat di bahagian selatan . Saiznya yang kecil sahaja tanpa sebarang hiasan dan menghala ke arah Ruang Solat al-Marwani. Sebelum ini, pintu ini dikenali sebagai Pintu Gerbang al-‘Ain kerana ia menghala ke arah lokasi Ein Silwan yang berada di sebelah utara Masjid al-Aqsa. 

Ketika penjajahan tentera Salib di Baitul Maqdis, pintu gerbang ini telah digunakan oleh pasukan tentera berkuda untuk membawa masuk kuda-kuda mereka ke Ruang Solat al-Marwani. Ketika itu, tempat tersebut telah ditukar menjadi kandang kuda dan menamakannya dengan nama Kandang Kuda Sulaiman. 

Pintu gerbang ini pernah dibaiki oleh Yayasan al-Aqsa untuk Pembangunan Kota Suci. Tetapi malangnya, ia telah dihapuskan selepas itu.

Related Articles